Friday, October 15, 2010

Menara Warisan Merdeka

Diharapkan projek ini akan memperlihatkan pulangan yg lebih lestari, konstruktif dan lumayan kepada negara dan bukan lebih merugikan dari segi:

1. Penggunaan tenaga buruh asing yang meningkat.

2. Pertambahan trafik kenderaan dan orang ramai ke Kuala Lumpur tanpa kawalan.

3. Pencemaran udara, bunyi dan saliran tali air.

4. Masalah sosial dan suasana kurang senang rakyat tempatan terhadap persekitaran yang kurang sihat.

Wednesday, October 13, 2010

Selangor vs Kijang [bola sepak]

Selepas perlawanan suku akhir piala malaysia 2010 antara Selangor dan Kelantan.

Berikut ulasan saya.

1. Penyokong  perlu dididik dengan lebih kerap supaya dapat mengawal emosi dengan lebih lama.

2. Kos kerugian kerosakan harus dibayar.Merusuh dan merosakkan harta rakyat Selangor di kawasan sekitar stadium adalah satu tindakan yang kurang bijak.

3. Mohon penyokong  lebih tertib menonton perlawanan bola sepak, kalau stadium Shah Alam rosak disebabkan amarah penyokong, wajarlah Pengurusan Selangor FA memohon untuk penyokong membayar ganti rugi keseluruhan kos. Saya rasa penyokong The Red Warrior & Selangor yang kaya raya tiada masalah untuk menanggung kos kerugian terbabit kerana kebanyakan mereka memang berjaya berniaga disini.

Monday, October 11, 2010

Cadangan penambahbaikan sikap pemanduan bas ekspress


Salam,
Cadangan penambahbaikan sikap pemandu bas ekspress

Berkenaan perkara diatas ingin saya cadangkan kepada persatuan majikan bas ekspess. Disini saya lihat peranan mereka kelihatan tidak menonjol dalam menambahbaik sikap pemandu bas ekspress. Saya lihat ramai orang awam menyalahkan pemandu bas, JPJ, Polis, dan agensi kerajaan yang lain. Malangnya peranan persatuan majikan bas ekpress kurang di beri perhatian.

Pertama, persatuan ini seharusnya menganjurkan kursus 'refresher' yang menekankan intipati kesegaran minda, hati dan emosi untuk pemandu-pemandu bas ekspress yang terlalu lama memandu. Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang menggunakan perkhidmatan bas ekspress, kebanyakan  pemandu berada dalam keadaan lesu apabila terlalu lama mengejar trip perjalanan. Bagi pemandu muda pula, mereka sering memandu dalam keadaan yang 'teruja'. Pemandu muda sering kelihatan 'gagah' memandu berjam-jam lamanya. Akan tetapi, apabila kurang bertenaga, ada pemandu muda mula menghisap rokok dan minum kopi beberapa kali untuk terus kekal bertenaga. Cadangan mengadakan kursus ini dilihat boleh membantu memulihkan spiritual,emosi, dan akal dari masa ke semasa selain menghisap rokok dan minum kopi. Membaiki spiritual boleh membantu meneroka masalah hati yang banyak membelenggu pemandu-pemandu ini. Ianya sekaligus dapat menyedarkan mereka melakukan sesuatu dengan lebih berhati-hati. Mereka sentiasa terdetik dalam fikiran;  seperti ‘alarm’ "jangan melakukannya" ketika disaat memandu secara cuai dikesan. Kandungan kursus sebegini juga perlulah santai dan tidak terlalu tegas. Sepertimana keadaan pelajar sekolah digalakkan menyertai PLKN, apa salahnya pemandu-pemandu bas ini juga menyertainya?

Kedua, Persatuan ini juga seharusnya lebih agresif ambil tahu masalah dan kebajikan pemandu bas ekspress. Segala pandangan mereka jangan diketepikan. Pandangan pemandu ekspress ini penting bagi menerokai punca-punca terdorongnya perilaku pemanduan secara berbahaya seperti memotong laju dan sebagainya. 

Kesimpulannya, Persatuan majikan bas ekspress perlu juga berganding bahu memperbaiki mutu kendiri pemandu bas ekspress. Kerjasama daripada pihak persatuan majikan yang lebih jitu dengan agensi kerajaan serta pemandu-pemandu perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa. Apa yang penting, majikan tidak perlu memberi tekanan kepada pemandu-pemandu bas dalam memenuhi keperluan trip perjalanan supaya mereka tidak terdetik untuk memandu dengan cuai.

Wednesday, October 6, 2010

Kepimpinan


Source:Utusan Malaysia
Date: 26-02-2010
Author: PENDAPAT


KEPIMPINAN Nabi Muhammad adalah yang terbaik dan perlu dijadikan contoh. Antara sikap baginda adalah sentiasa bersikap berlapang dada. Baginda tidak mudah berasa tertekan atau kelam kabut apabila berdepan dengan situasi tidak disenangi. Baginda sentiasa menggunakan pendekatan tenang dalam melihat sesuatu masalah. Sekiranya pemimpin mudah hilang punca dan pertimbangan setiap kali berdepan dengan cabaran berat, banyak tindakan yang dilakukan tidak dapat dipastikan kesannya. Mereka mungkin sentiasa menukar perancangan dan pelaksanaan sesuatu perkara. Perbincangan adalah satu amalan yang perlu diutamakan semasa merancang atau mengambil keputusan penting melibatkan rakyat yang mana setiap individu yang terlibat dalam urusan itu dapat memberi pendapat dan membuat keputusan bersama. Rasulullah SAW sentiasa berlapang dada menerima pandangan para sahabat di mana baginda tidak memberi kata putus secara peribadi dalam hal melibatkan kepentingan rakyat. Pemimpin yang selalu berbincang menandakan mereka mempunyai sikap berlapang dada dan bersedia untuk ditegur. Sesungguhnya tidak jatuh maruah pemimpin yang ditegur oleh orang bawahan. Sikap itu membawa rasa hormat rakyat terhadap pemimpin. Manusia tidak sempurna dalam semua hal dan memerlukan perbincangan atau pertolongan individu lain untuk melaksanakan sesuatu tugas. Peribadi unggul lain yang dimiliki Nabi Muhammad adalah sentiasa mengamalkan pergaulan mesra dengan sesiapa sahaja tanpa membeza-bezakan antara sahabat dan sesiapa yang ditemuinya. Apa yang jelas, Nabi Muhammad tidak mengamalkan protokol atau syarat untuk membolehkan seseorang menemui baginda. Sesiapa saja boleh menemui baginda untuk menyatakan sendiri sebarang hajat atau mengajukan apa-apa pertanyaan. Rakyat tidak berasa kekok untuk menyampaikan sesuatu perkara dan berganding bahu dengan pemimpin yang mengamalkan pergaulan mesra untuk melakukan usaha ke arah kebaikan dan menghindar perkara buruk. Semua rakyat berhak mendapat layanan sama adil daripada pemimpin tanpa membezakan penyokong setia atau kroni berbanding yang lain. Ini kerana baginda adalah pemimpin untuk seluruh umat manusia. Pemimpin mesti mementingkan falsafah saling mempercayai seperti mana diamalkan oleh baginda yang tidak ragu-ragu tentang sebarang pengakuan atau janji yang diucapkan kepadanya. Baginda tidak mempunyai prejudis dengan membuat andaian tanpa alasan munasabah terhadap seseorang. Hubungan kasih sayang dibina oleh Rasulullah SAW dengan semua orang menyebabkan baginda sentiasa disayangi. Baginda juga sentiasa mengutamakan pembinaan perasaan kasih sayang tanpa membeza-bezakan taraf seseorang. Kepimpinan Nabi Muhammad bersifat sejagat yang tidak hanya untuk kelompok masyarakat tertentu sahaja. Sebab itulah, baginda amat menekankan agar tidak wujud amalan perkauman atau melebihkan sesuatu bangsa sahaja. Sifat yang tidak hanya mementingkan sesuatu kaum amat penting diamalkan di negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti negara kita. Setiap kaum berhak menikmati kehidupan dengan harmoni, aman dan selamat dalam negara kita yang berkongsi pemerintahan. Nabi Muhammad amat berpandangan jauh dalam setiap tindakan yang dilakukan. Baginda sentiasa mengingatkan sesuatu kemungkinan yang bakal ditempuh oleh umat baginda pada masa akan datang. Justeru, biarpun baginda telah wafat lebih 1,400 tahun lalu, apa yang pernah baginda ucapkan menjadi kenyataan pada hari ini. Pemimpin yang berpandangan jauh tidak hanya merancang sesuatu yang berlaku dalam tempoh masa terdekat atau sekadar beberapa tahun akan datang. Sebagai pemimpin yang berwawasan, apa yang difikirkan tidak untuk diri dan generasinya saja. Apa yang dilakukan hari ini adalah untuk generasi akan datang.Tugas memimpin tidak sekadar menggunakan kebijaksanaan minda tetapi juga memerlukan kekuatan fizikal yang mana setiap pemimpin terpaksa bergerak ke sana dan ke sini tanpa masa rehat yang cukup. Sebab itulah, dalam sirah Rasulullah menceritakan mengenai kekuatan fizikal yang dimiliki baginda. Dengan kelebihan itu, baginda tidak menghadapi masalah untuk melakukan pelbagai jenis tugas, walaupun kelihatan berat untuk dilakukan orang lain. LOKMAN ISMAIL Kota Bharu, Kelantan (Source by : Utusan Malaysia)